SELAMAT DATANG KE BLOG JELIRA SEJARAH STPM

Wednesday, 22 February 2017

1.6 Bentuk Pemerintahan

Tajuk  :  1.6          Bentuk pemerintahan
              1.6.1      Pemerintahan pusat dan wilayah (Khalifah al-Rasyidin (7M) dan Khalifah                                        Utmaniyah 16-17)
               1.6.2      Pemerintahan pusat dan wilayah (Andalus (13M) dan India (16-17M)

Hasil Pembelajaran : a)            Membincangkan struktur pemerintahan dan pentadbiran pusat                                                           dan wilayah                                                  
                                    b)            Menjelaskan sistem pemerintahan raja/sultan dan amir


1.         Khalifah al-Rasyidin (abad ke-7M)

  • Selepas pemerintahan Nabi Muhammad s.a.w., umat Islam diperintah oleh para khalifah yang digelar Khulafa al Rasyidin yang meneruskan dasar pemerintahan dan pentadbiran baginda. Namun, terdapat juga penambahan dasar ekoran negara dan wilayah Islam yang semakin luas. Misalnya, pemerintahan terbahagi kepada kerajaan pusat dan kerajaan wilayah.  Kerajaan Khulafa al Rasyidin terbentuk secara rasmi pada 632M setelah Khalifah Abu Bakar al Siddiq dipilih oleh umat Islam sebagai khalifah pertama.             
  • Pada zaman Khulafa al Rasyidin, pentadbiran pusat berpusat di kota Madinah. Semasa pentadbiran Khalifah Abu Bakar, Negara Islam telah dibahagikan kepada 10 buah wilayah iaitu Makkah, Taif, Yaman, Hadhramaut, Khakwan, al-Jund, Najran, Zabid , Bahrain dan Jarsh. Manakala pada zaman Khalifah Umar pula Negara Islam dibahagikan kepada lapan buah wilayah dan diantaranya ialah Madinah, Makkah, Syam dan Iraq.
  • Kuasa tertinggi kerajaan pusat zaman Khulafa al Rasyidin ialah khalifah manakala ‘Amir’ mengetuai kerajaan wilayah. Khalifah dipilih melalui syura dan mereka memerintah berdasarkan hukum syariah berpandukan al Quran dan Sunnah. Walaupun begitu Khalifah boleh membuat ijtihad sekiranya ada perkara penting yang perlu diputuskan yang tidak terdapat dalam al-Quran mahupun hadis.
  • Sesuatu dasar yang akan diputuskan perlu melalui kaedah musyawarah iaitu keputusan dibuat berdasarkan pandangan pelbagai pihak  dan menjadi dasar yang perlu  dilaksanakan dalam pentadbiran. Ketika pemerintahan Khalifah Umar, Majlis Syura telah ditubuhkan secara rasmi dan berfungsi secara formal. Anggotanya adalah dilantik dalam kalangan para sahabat yang berpengalaman dan berperanan sebagai badan penasihat kepada khalifah.
  • Dalam bidang ekonomi pula, ibupejabat Baitulmal juga diwujudkan. Segala sumber pendapatan Negara dan laporan kewangan daripada semua wilayah dalam Negara Islam akan dilaporkan oleh setiap Gabenor Wilayah kepada khalifah setiap tahun
  • Kerajaan pusat bertanggungjawab dalam segala aspek pentadbiran termasuk pentadbiran wilayah. Kerajaan pusat akan membantu perbelanjaan kerajaan wilayah dan sebagai balasannya, kerajaan wilayah akan memberi pelbagai bentuk bantuan yang diperlukan kerajaan pusat. Misalnya, urusan berkaitan cukai dan bekalan tentera semasa peperangan.
  • Kerajaan pusat akan memberi arahan kepada kerajaan wilayah seperti pembayaran cukai serta bantuan ketenteraan. Kerajaan wilayah tidak boleh bertindak sendirian tetapi harus mematuhi segala arahan kerajaan pusat.
  • Pentadbiran wilayah semasa pemerintahan Khulafa al-Rasyidin pula mempunyai ibunegeri atau pusat pentadbiran masing-masing. Setiap wilayah akan diketuai oleh seorang Gabenor yang akan dibantu oleh pegawai-pegawai lain yang mengetuai sesebuah jabatan. Contohnya Setiausaha Tentera, Pegawai Cukai, Pegawai Polis, Pegawai Perbendaharaan dan seorang Kadi.
  • Bagi memastikan pentadbiran di wilayah Islam yang semakin luas, Khalifah Umar telah membentuk sistem birokrasi yang sistematik. Individu atau pegawai yang dilantik akan bertanggungjawab kepada pegawai yang berada di atas dan setiap pegawai diwajibkan melaporkan jumlah harta sebelum dan selepas selesai menjalankan tanggungjawab. Setiap pegawai juga akan dijelaskan bidang kuasa masing-masing bagi mengelakkan kekeliruan.
  • Bagi melancarkan sistem pengurusan kewangan negara, di setiap wilayah didirikan baitulmal bagi memudahkan urusan pendapatan dan perbelanjaan negara.


2.         Khalifah Uthmaniyah  (abad ke-16-17M)
  • Kerajaan Uthmaniyah pula diasaskan Uthman bin Ertughrul Sulaiman Shah pada 1281M. Pada tahun 1453M, pemerintahannya telah berpusat di Istanbul . Pentadbiran kerajaan pusat mendominasikan kuasa pemerintahan dan pentadbiran manakala kerajaan wilayah miliki kuasa autonomi yang terbatas . Antara kerajaan wilayah yang wujud ketika itu ialah Madinah, Makkah, Baghdad, Damsyik, Andalus dan Mamluk.
  • Kuasa tertinggi kerajaan pusat dipegang oleh Sultan manakala Gabenor atau Wazir mengetuai kerajaan wilayah. Sultan dipilih secara warisan manakala Gabenor wilayah dilantik oleh Sultan tanpa berdasarkan keturunan. Seperti khalifah, sultan memerintah berlandaskan syariah Islam  manakala Gabenor memerintah berasaskan panduan yang ditentukan oleh sultan.
  • Bagi kedua-dua kerajaan ini, kerajaan pusat bertanggungjawab dalam segala aspek pentadbiran termasuk pentadbiran wilayah. Kerajaan pusat akan membantu perbelanjaan kerajaan wilayah dan sebagai balasannya, kerajaan wilayah akan memberi pelbagai bentuk bantuan yang diperlukan kerajaan pusat. Misalnya, urusan berkaitan cukai dan bekalan tentera semasa peperangan.
  • Kerajaan pusat akan memberi arahan kepada kerajaan wilayah seperti pembayaran cukai serta bantuan ketenteraan. Kerajaan wilayah tidak boleh bertindak sendirian tetapi harus mematuhi segala arahan kerajaan pusat. Khalifah dan Sultan berkuasa melantik dan memecat  Amir dan Gabenor/Wazir. Khalifah dan Sultan akan memerintah sehingga meninggal dunia.
  • Sultan dibantu oleh Wazir Agung yang bertindak sebagai ketua pentadbir dan penasihat sultan. Dalam menjalankan pemerintahan beliau akan dibantu pula oleh pegawai-pegawai seperti hakim tentera, Beylerbey, Defterdar, Agha dan Nishanji.
  • Pada zaman Sultan Salim 1, jawatan mufti telah diwujudkan. Tugas utamanya ialah mengeluarkan fatwa dalam semua aspek yang berkaitan dengan agama.
  • Aspek ekonomi, politik dan sosial diuruskan oleh kerajaan pusat. Walau bagaimanapun, kerajaan wilayah yang merupakan bandar-bandar kecil perlu berganding bahu dengan kerajaan pusat demi menjamin keamanan, kemajuan dan keharmonian rakyat serta negara.
  • Dalam usaha memantapkan ketenteraan, sistem pemerintahan turut diperkuatkan dengan golongan fief yang merupakan tentera asasi kerajaan Uthmaniyah.
  • Dalam pentadbiran wilayah, Gabenor bertanggungjawab menjalankan pentadbiran dan mentadbir tanah yang berada di bawah jagaannya.
  • Kadi pula merupakan ketua agama bagi setiap daerah. Tugas utamanya adalah mengendalikan hukum jenayah dan sivil yang berdasarkan syariah Islam yang berpandukan al-Quran dan hadis.Multezim pula ialah pegawai kewangan daerah yang bertanggungjawab memungut cukai dalam daerah dan menyerahkannya kepada perbendaharaan negara. Dalam waktu yang sama, pegawai kerajaan diberikan kuasa untuk mengutip bayaran yang dikenali sebagai bakshish daripada rakyat.


3.         Kerajaan Islam Andalus (Sepanyol) 13M

  • Pada abad ke-13M menyaksikan kemunculan kerajaan Nasriyyah yang merupakan kerajaan Islam terakhir yang memerintah Andalus  (635-897 H/1238-1492 M).Kerajaan ini juga dikenali dengan nama bani al-Ahmar sempena nama pemimpinnya iaitu Ibn al- Ahmar.
  • Sebelum kemunculan kerajaan ini , Andalus menjadi rebutan dalam kalangan pemerintah Islam. Antaranya ialah Abu Jamil Zayyan bin Maddanish dengan Abu Abd Allah Muhammad bin Yusuf bin Hud al-Judhami atau dikenali sebagai Ibn Hud.
  • Sebelum pengasasan kerajaan Nasriyyah , Andalus berada di bawah pemerintahan kerajaan al-Muwahhidun.
  • Kerajaan al-Muwahhidun telah memerintah Andalus sehingga kerajaan ini dikalahkan oleh tentera – tentera Kristian pada tahun 1212 M
  • Sewaktu pemerintahan kerajaan al-Muwahhidun, pemerintah kerajaan ini telah berjaya menguasai beberapa buah wilayah di Sepanyol seperti Granada dan Toledo.Namun demikian,ketika pemerintahan Muhammad al-Nasir, kerajaan ini menjadi lemah . Pemerintahannya yang terakhir ,iaitu al-Mustansir tidak berupaya mengembalikan semula kedaulatan wilayah-wilayah kerajaan al-Muwahhidun yang ditawan oleh Kristian.
  • Berkaitan dengan pemerintah, para pemimpin al-Muwahhidun menggunakan gelaran yang mempunyai unsur-unsur Syiah seperti al-Mahdi, al-Nasir dan al-Mansur .Walau bagaimanapun ,penggunaan gelaran ini menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan bangsa Arab yang mengharapkan kewujudan sistem demokrasi Islam.
  • Pentadbiran kerajaan al-Muwahhidun di peringkat pusat dan wilayah diperintah berasaskan sumber perundangan daripada mazhab Maliki .Hal ini secara tidak langsung telah melemahkan golongan yang tidak berpegangterhadap fahaman Syiah .
  • Bagi mewujudkan iklim politik yang stabil ,pemimpin kerajaan pernah mengadakan perjanjian damai dengan pihak Kristian seperti dengan Raja Leon dan Castile .Namun ,perjanjian damai ini hanya mampu berkekalan selama 10 tahun sahaja .Semasa pemerintahan al-Nasir ,baginda terpaksa melepaskan wilayah kekuasaan kepada tentera Kristian .
  • Abu Abd Allah Muhammad bin Yusuf bin Hud al-Judhami atau Ibn Hud berusaha menerajui pemerintahan Andalus dengan menjadikan Murcia sebagai pusat pemerintahannya.
  • Pada tahun 1228 M ,Ibn Hud yang dikenali juga dengan gelaran Amir al-Mukminin Sayf al-Dawlah al-Mutawakkil Ala Allah berjaya menawan Murcia daripada wakil kerajaan al-Muwahhidun . Kerajaan ini membolehkan Ibn Hud bertapak di Cordova ,Seville,Grenada,Almeria,Ceuta ,Algeciras,Jean,Merida, dan Badajoz.
  • Ibn Hud bertekad melaksanakan syariah Islamiyah di setiap kawasan yang dikuasai .Beliau juga telah memaklumkan kepada khalifah kerajaan Abbasiyah di Baghdad tentang kejayaan penguasaannya terhadap bandar – bandar tersebut.
  • Walau bagaimanapun ,cabaran yang terpaksa dihadapi oleh Ibn Hud amat getir .Akibat tekanan dan serangan daripada tentera-tentera Kristian ,beliau mengalami kekalahan demi kekalahkan termasuk di Cordova.
  • Selain Ibn Hud ,kerajaan al-Muwahhidun juga terpaksa hadapi saingan daripada Ibn al-Ahmar yang kemudiannya berjaya membentuk kerajaan termasuk di Cordova.
  • Sebagaimana Ibn Hud , Ibn al-Ahmar juga berusaha mendapatkan pengiktirafan daripada kerajaan Abbasiyah di Baghdad.
  • Implikasinya ,pada tahun 1231 M ,beliau berjaya memperluaskan pemerintahannya  dengan menduduki wilayah-wilayah seperti Carmona , Cordova ,dan Seville .Beliau juga telah berkerjasama dengan di Seville,iaitu al-Bajji bagi menewaskan Ibn Hud.
  • Sebagai seorang yang bijak berpolitik ,beliau kemudiannya berjaya menyingkirkan al-Bajji dengan melakukan pembunuhan secara rahsia .Bermula pada tahun 1232 M ,beliau berjaya memperoleh kesetiaan penduduk Jerez ,Malaga dan kawasan sekitarnya.
  • Disebabkan pentadbiran kota Seville serta kota –kota lain di bahagian barat Andalus dipegang oleh pemimpin tempatan yang sedia memberikan ketaatan kepadanya,maka Ibn al-Ahmar telah membentuk kuasa ketenteraan di kawasan –kawasan tersebut.
  • Ibn al-Ahmar terlibat secara langsung di Granada bermula pada tahun 1238 M ,iaitu  apabila beliau berjaya menguasai kota tersebut daripada bekas gabenor Ibn Hud yang mengamalkan pentadbiran yang zalim. Disebabkan kezaliman itu penduduk Granada bersedia memberikan kesetiaan kepada Ibn al-Ahmar.
  • Pada tahun 1246 M ,Ibn al-Ahmar telah menandatangani perjanjian dengan pihak Kristian .Menurut perjanjian tersebut, Ibn al-Ahmar sanggup membayar ufti dan bersetuju menyerahkan wilayah Jean , Arjona,Porcuna,Priego,Higuera,dan La Frontera,kepada Castille yang ketika itu berkhidmat dibawah pemerintahan Ferdinand 3.
  • Beliau menandatangani perjanjian damai dengan pihak Kristian bagi menyelamatkan kedudukannya sebagai pemerintah tunggal di Granada dan menjamin penerusan pemerintahan kerajaan Nasriyyah berkekalan di Andalus.
  • Kesimpulannya ,sepanjang penguasaan Ibn al-Ahmar ,beliau telah berjaya menguasai Granada dan wilayah-wilayah di sekitarnya.Namun, disebabkan tentangan – tentangan tentera Kristian ,kekuasaan beliau hanya terhad di Granada .Pemerintahan kerajaan Nasriyyah diteruskan oleh 21 orang sultan berikutnya sehinggalah kerajaan ini berakhir pada tahun 1492 M.


4.         Kerajaan Islam India (abad ke-16-17M)
  • Kerajaan Islam yang memerintah India pada abad ke-16 hingga 17M ialah Kesultanan Moghul yang diasaskan oleh Baber atau Zahiruddin Muhammad yang mengambil alih kuasa daripada  Kesultanan Delhi sejurus berakhirnya pertempuran Panipat pada 1526M.
  • Di bawah pemerintahan Baber sehingga tahun 1530, wilayah India telah berkembang dengan pesat meliputi wilayah Agra, Rajput, Bihar, Benggala, Punjab dan Gwalior.
  • Selepas kemangkatan Baber, pemerintahan Kesultanan Moghul telah diambil alih oleh Humayun, Akbar, Shah Jehan dan kemudian Aurangzeb  yang  mencapai kecemerlangan semasa pentadbiran kerajaan Moghul sehingga kedatangan British ke India pada penghujung abad ke 19.
  • Pemerintah Kesultanan Moghul yang terkenal ialah Maharaja Akbar (1542-1605M) dan Aurangzeb (1658-1707M). Kedua-dua orang raja ini, telah menjadikan agama Islam sebagai bukan sahaja sebagai agama yang dianuti ramai tetapi juga mengembangkan empayar dan  ketamadunan Islam di negara tersebut.

Dasar Pentadbiran  Akbar 1556-1605M
  • Nama sebenar beliau ialah Jalaludin Mohamad Akbar dilahirkan pada tahun 1542 di Umarkot, sebuah bandar di utara Sind. Beliau merupakan pemerintah kerajaan Moghul, India yang ketiga menggantikan bapanya Humayun. Beliau menjadi pemerintah pada usia 15 tahun pada 1556M. Pada usia 19 tahun beliau mula menjalankan pentadbiran sendiri dengan melantik Pir Mohamad sebagai orang kanannya.
  • Beliau menerima didikan agama daripada beberapa orang guru dan di antaranya Sheikh Mubarak dan Mir Ab. Latif yang merupakan sarjana Farsi. Namun begitu, Akbar tidak begitu meminati bidang akademik dan agama sebaliknya lebih gemar bersukan seperti memburu, menembak dan menunggang kuda.
  • Akbar telah memerintah kerajaan Moghul sehingga 1605 dengan menggunakan gelaran Sultan dan sepanjang pemerintahannya beliau berjaya menyelamatkan empayar tersebut daripada berpecah belah terutamanya selepas kematian bapanya Humayun. Apabila pemerintahan di tangan Akbar, beliau telah memulih dan mengembalikan semula kekuasaan Moghul di India.
  • Dalam menjalankan pemerintahannya, Akbar telah memainkan peranan penting dalam menyusun atur sistem pentadbiran yang berasaskan pemerintahan pusat dan wilayah demi menegakkan kerajaan Moghul sebagai sebuah empayar yang teragung dalam sejarah pemerintahan Islam di India.
  • Dalam pentadbiran di peringkat pusat, Akbar mempunyai kabinetnya sendiri. Baginda melantik seorang perdana menteri yang dipanggil wakil dan barisan menteri yang dipanggil wazir. Menteri yang paling kanan ialah yang menjawat jawatan menteri kewangan. Ketua turus tentera juga sebahagian daripada anggota kabinet yang dipanggil Khan Qanan yang terdiri daripada keluarga diraja. Beliau bertanggungjawab ke atas semua mansabdar yang menjadi pemerintah di peringkat wilayah. Ketika itu Akbar mempunyai kekuatan seramai 140 ribu orang anggota tentera tetap.
  • Selain itu, Akbar telah mewujudkan satu sistem pentadbiran yang dikenali sebagai mansabdari. Melalui sistem ini, Akbar telah mewujudkan sebuah birokrasi yang berbentuk separuh awam dan separuh tentera. Sistem ini dijalankan oleh seorang mansabdar iaitu seorang pegawai yang ditugaskan memerintah dan melengkapkan satu pasukan tentera diraja dibawahnya. Di samping itu mansabdar juga melaksanakan tugasan pentadbiran awam.
  • Di bawah pemerintahan Akbar, India dibahagikan kepada 18 wilayah atau subas. Di setiap wilayah itu ditempatkan seorang gabenor yang dipanggil subadar yang juga merangkap ketua tentera. Mereka ini secara rasmi dipanggil nizam.
  • Di setiap subas itu terdapat sebuah diwan (perbendaharaan negara) bagi mengawal kegiatan para subadar itu. Diwan ini juga bertanggungjawab membantu semua jabatan kerajaan wilayah.
  • Setiap subas pula dibahagikan kepada beberapa daerah yang dipanggil sarkar. Sarkar ditadbir oleh pegawai daerah yang dipanggil faujdar. Di samping pegawai eksekutif, faujdar juga berperanan sebagai pemungut cukai. Sarkar pula dipecahkan kepada beberapa parganah (mukim) dan mahal (kampung)
  • Dalam memastikan pemerintahan berjalan lancar, Akbar telah melaksanakan beberapa polisi dalam pentadbiran. Di antaranya ialah :-
  1. mengasingkan politik daripada agama dan menghapuskan perbezaan berasaskan agama dan bangsa
  2. menggalakkan perkahwinan campur di antara orang Islam dengan Hindu
  3. layanan sama kepada semua rakyat tanpa mengira agama dan keturunan
  4. kebebasan beragama kepada semua rakyat. Contohnya menghapuskan cukai kepada penganut Hindu yang mengunjungi Banares
  5. menghapuskan jizyah kepada orang-orang Hindu
  6. mengharamkan adat sutee dan menetapkan umur berkahwin (lelaki 16/ perempuan 13)
  7. dasar pencukaian yang liberal dan bertolak ansur. Contohnya, cukai dibayar untuk tanah yang dikerjakan dan mengikit kemampuan. Kekerasan ditegah sama sekali semasa memungut cukai.
  8. menyediakan pinjaman kepada petani untuk mengembangkan aktiviti pertanian
  9. menyediakan subsidi kepada petani yang menghadapi musibah seperti kemarau, banjir dan sebagainya.
  10. dalam medium perhubungan, kepelbagaian bahasa telah digunakan. Contohnya bahasa arab (agama), bahasa Turki (bangsawan), bahasa Parsi (kesusasteraan), Urdu, Hindi dan Tamil digunakan dalam kalangan rakyat jelata.

Dasar Pentadbiran Aurangzeb 1658-1707
  • Nama sebenar Aurangzeb ialah Muhyidin Muhamad Aurangzeb iaitu putera Shah Jehan bersama isterinya Mumtaz Mahal. Sejak kecil beliau telah menerima didikan agama yang secukupnya sehingga menjadikan beliau seorang pentadbir yang  bijak dan warak
  • Beliau menaiki takhta setelah berjaya menyingkirkan bapanya, Shah Jehan pada tahun 1658.  Memerintah sehingga tahun 1707 dan dikenali sebagai Alamgir yang bermaksud Pemegang Alam.  Sebelum memerintah India,  baginda pernah dilantik sebagai Gabenor di Deccan, Gujerat dan Multa.
  • Beliau merupakan pemerintah Moghul yang paling kuat berpegang kepada agama Islam. Beliau bercita-cita menjadikan seluruh India sebuah negara Islam (Dar al-Islam) dari mazhab ahl-Sunnah wal-Jamaah.
  • Aurangzeb melaksanakan dasar perluasan wilayah yang paling luas.  Ia meliputi 14 wilayah di Utara India, 6 wilayah di Deccan dan 1 wilayah di Kabul.  Beliau berjaya mengalahkan semua pemberontakan kaum Hindu dan Sind  seperti pemberontakan kaum Pathan, kaum Jat dan Satnawi.  Semua pentadbiran wilayah tersebut diselaraskan dibawah pentadbiran pusat dan wilayah.
  • Aurangzeb melaksanakan dasar Islam yang  jelas dalam pentadbirannya  Beliau melaksanakan perundangan Islam berpandukan  buku perundangan yang terkenal iaitu Fatwa Alamgir. Para ulama dilantik sebagai penasihat dalam pentadbirannya.  Lembaga Penapis ditubuhkan untuk melahirkan masyarakat yang berakhlak dan tidak melanggar peraturan Islam.
  • Dalam bidang pentadbiran  Aurangzeb  tidak membenarkan orang bukan Islam memegang jawatan penting dalam pentadbiran negara  terutama yang berkaitan dengan perkhidmatan awam dan ketenteraan.  Walau bagaimanapun beliau membenarkan orang Hindu memegang jawatan lain.  Beliau telah melantik ramai orang Hindu memegang jawatan di peringkat rendah.
  • Beliau merupakan  pengikut sunni yang tidak bertolak ansur kepada mazhab dan agama lain.  Beliau sangat tegas dalam melaksanakan hukum Islam.  Beliau telah melarang kanak-kanak Islam belajar di kuil Hindu dan menghapuskan peraturan istana yang bertentangan dengan Islam.
  • Pemerintahan beliau mempunyai keadilan yang tinggi dan undang-undang yang digunakan antara orang Islam dan bukan Islam adalah sama. Perundangan dijalankan oleh kadi dan mufti serta diawasi oleh Hakim Besar.
  • Dalam bidang ekonomi, beliau memperkenalkan bayaran jizyah kepada orang bukan Islam dengan kadar yang rendah.  Walau bagaimanapun beliau telah menghapuskan 80 jenis cukai yang membebankan rakyat dan tidak dibenarkan dalam Islam.  Aurangzeb berjaya meningkatkan pendapatan negara sekali ganda sekiranya dibandingkan di zaman Akbar.    Perkembangan ekonomi telah meningkatkan taraf hidup rakyat.
  • Beliau juga telah bertindak menegakkan sistem sosial Islam.  Beliau mengharamkan judi dan penjualan arak.  Amalan tradisi menghadiahkan emas dan perak oleh pembesar kepada Sultan turut dihapuskan.
  • Dalam bidang sosial,  dalam usaha untuk mewujudkan sebuah negara Islam yang kuat beliau telah cuba menggalakkan orang-orang Hindu dan bukan Islam yang lain agar memeluk agama Islam. Keadaan ini menyebabkan wujudnya penentangan dalam kalangan orang bukan Islam terhadap Aurangzeb.
  • Beliau juga mengamalkan dasar yang keras ke atas orang Hindu dan Sikh.  Beliau tidak berkompromi dengan masyarakat bukan Islam.  Tindakannya mengenakan cukai jizyah, meruntuh dan menghalang pembinaan kuil dan menghalang perkembangan agama Hindu telah membangkitkan kemarahan dan penentangan dalam kalangan orang bukan Islam dan juga dalam kalangan penganut syiah.
  • Dalam pemerintahannya,  jelas menunjukkan Aurangzeb seorang pemerintah yang tegas mempertahankan maruah agama dan umat Islam di India. Beliau  berjaya dalam dasar perluasan kuasa dan membentuk sistem pemerintahan dan pentadbiran sama ada di peringkat pusat mahupun wilayah yang menyerlahkan kerajaan ini sehingga kedatangan British pada awal abad ke 19.
 Soalan-Soalan STPM

1.      Bincangkan langkah-langkah yang diambil oleh Maharaja Akbar bagi memantapkan sistem pemerintahannya.  (STPM 2014 U)

2.      Jelaskan sistem politik dan pentadbiran Akbar dalam mengukuhkan pemerintahan kerajaan Moghul di India  (STPM 2016)

2 comments: