SELAMAT DATANG KE BLOG JELIRA SEJARAH STPM

Wednesday, 22 February 2017

1.2 Masyarakat Islam pada abad ke 6 hingga 7 M

Tajuk    :   1.2  Masyarakat  Islam pada abad ke 6 hingga 7 M
Hasil Pembelajaran    :  a)  menghuraikan konsep ummah
                                         b)  membincangkan perkembangan masyarakat Islam

a)  Konsep Ummah

            Perkataan ’ummah’ adalah berasal dari perkataan Arab yang bermaksud satu golongan atau komuniti. Mengikut Abdul Al-Baqi, perkataan ummah telah disebut dalam al-Quran sebanyak 40 kali seperti ummah nabi atau rasul yang diutuskan oleh Allah untuk memimpin ummah seperti ummah Nabi Ibrahim, ummah Nabi Isa, ummah Nabi Musa, ummah Nabi Lut dan ummah Nabi Muhammad SAW. Dalam al-Quran juga menyatakan bahawa konsep ummah merujuk kepada semua makhluk Allah termasuklah masyarakat manusia, ahli kitab, malaikat, jin dan makhluk yang lain Ummah bererti masyarakat atau umat manusia.  Dalam konteks ummah yang wujud pada zaman Rasulullah SAW, merujuk kepada masyarakat yang mematuhi Piagam Madinah termasuk umat Islam dan bukan Islam.  Umat Islam inilah kemudiannya menjadi asas kepada penubuhan negara Islam pertama di Madinah pada tahun 622M. Mereka terdiri daripada golongan Muhajirin yang berhijrah dari Makkah ke Madinah dan kemudian bergabung dengan masyarakat tempatan yang dikenali sebagai golongan Ansar. Golongan Ansar ini terdiri daripada dua puak yang pada mulanya bermusuhan, iaitu suku Aus dan suku Khazraj tetapi telah disatukan oleh Rasulullah SAW. Golongan Ansar dan Muhajirin ini telah dipersaudarakan bagi tujuan membentuk umat Islam yang kuat di kota Madinah.  Kewujudan ummah telah disebut dengan jelas dalam Fasa 1 Piagam  Madinah yang menjadi perlembagaan negara Islam yang paling sempurna  wujud di dunia.

                 Konsep ummah mengikut dalam Perlembagaan Madinah fasal 1 dan 2 menyatakan bahawa semua umat Islam Madinah yang terdiri daripada orang Muhajirin dan Ansar, penduduk-penduduk Madinah, dan golongan yang menyokong mereka dianggap sebagai satu ummah. Ini bererti pada peringkat awal, konsep ummah di zaman Nabi Muhammad saw  tidak terhad kepada umat Islam sahaja tetapi termasuk umat bukan Islam seperti kaum Yahudi ( Bani Quraizah, Nadhir dan Qainuqa’ ) dan kabilah-kabilah Arab di sekitar Madinah seperti Bani Jusham, Sai’dah, Al-Harith dan lain-lain.  Bagi umat Islam mereka dikenali sebagai ’Ummah Wahidah’ (masyarakat yang satu ) manakala orang bukan Islam dianggap sebagai orang kafir Zimmi (mereka yang dilindungi). Selain itu, konsep ummah di zaman Nabi Muhammad SAW  juga merujuk kepada masyarakat yang mematuhi undang-undang negara Islam sama ada mereka beragama Islam ataupun tidak. Ini kerana bagi masyarakat yang tidak mematuhi perlembagaan Madinah akan disingkir atau dihukum mengikut peruntukan undang-undang di dalamnya. Secara umumnya, konsep ummah merujuk kepada semua masyarakat yang tinggal di  Madinah pada zaman Nabi Muhammad SAW tanpa mengira agama atau bangsa asalkan mereka patuh dan taat kepada undang-undang yang ditetapkan di dalam Piagam Madinah yang digubal pada tahun 622 M.

b)  Kepentingan peristiwa hijrah terhadap perkembangan masyarakat Islam

Pengenalan
            Hijrah bererti perpindahan.  Perkara yang dimaksudkan dengan hijrah ini ialah hijrah orang Islam dari Makkah ke Madinah pada 16 Julai 622M bersamaan 1 Muharram 1H. Tujuan mereka berhijrah ialah kerana kecewa dengan sikap permusuhan kaum Musyrikin Quraisy terhadap Islam. Dalam  pada itu mereka mempunyai matlamat jangka panjang iaitu mewujudkan sebuah masyarakat Islam yang lebih kuat dan bersatu padu. Faktor berlakunya hijrah juga dipercepatkan oleh kesediaan penduduk Madinah untuk menerima masyarakat Islam dari Makkah selepas termeterainya Perjanjian Aqabah 1 dan 2.

Kepentingan peristiwa hijrah kepada masyarakat Islam

i.          Bermulanya tahun Hijrah. Menerusi peristiwa hijrah telah melahirkan tahun hijrah dalam takwim Islam iaitu bermula dari tarikh hijrah orang Islam dari Makkah ke Madinah pada 1 Muharram 1H. Penentuan tahun hijrah sebagai kalendar Islam dibuat pada zaman Khalifah Umar al-Khattab pada tahun 17H/638M, tujuannya ialah untuk memperingati peristiwa hijrah yang penuh pengajaran dan hikmah itu. Tujuan selanjutnya ialah bagi memudahkan urusan pentadbiran jabatan-jabatan kerajaan, seperti jabatan cukai dan surat menyurat antara pegawai dengan khalifah.

ii.         Agama.  Peristiwa hijrah adalah menurut arahan Allah SWT menerusi wahyu. Tujuan utama hijrah ialah menuntut keredaan Allah SWT. Justeru Madinah merupakan tempat yang paling sesuai ketika itu untuk dijadikan pusat penyebaran agama Islam kerana penduduknya, khususnya kaum Yahudi lebih faham mengenai selok belok agama. Menerusi hijrah, juga telah mempertingkatkan iman dan keyakinan orang Islam dalam menghadapi cabaran semasa.

iii.        Politik.  Hijrah juga telah membawa perubahan dalam aspek politik apabila dalam masa yang singkat sahaja mereka telah berjaya membentuk satu piagam yang dinamakan “Piagam Madinah” dan seterusnya membentuk sebuah negara Islam di Madinah.

iv.        Ekonomi.  Kedudukan ekonomi orang Islam semakin kukuh. Madinah  bukan sahaja merupakan kawasan yang paling sesuai sesuai untuk bercucuk tanam, tetapi juga merupakan satu kawasan yang strategik dari segi perdagangan kerana terletak di pertengahan jalan perdagangan antara  Makkah ke Syam.

v.         Sosial. Apabila berlakunya hijrah nilai-nilai masyarakat sepertimana yang diamalkan pada zaman jahiliah telah dihapuskan dan digantikan dengan nilai-nilai murni yang berpandukan akidah dan akhlak. Dalam sistem sosial ini, setiap orang diberikan kebebasan tanpa mengira agama, kaum dan keturunan. Hidup berkabilah digantikan dengan sistem sosial yang berasaskan perpaduan kaum dalam bentuk ummah.

c)         Langkah-langkah pembentukan ummah di Madinah / langkah-langkah Nabi Muhammad SAW selepas menubuhkan negara Islam di Madinah

i)             Mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar                              
Persaudaraan yang diperkenalkan amat mendalam hinggakan mereka bukan sahaja dapat bergaul dengan lebih mesra, bahkan dapat mewarisi harta pusaka dan mempunyai hak yang sama dalam keluarga masing-masing melalui ikatan perkahwinan serta ikatan akidah. Melalui konsep inilah golongan Muhajirin yang sebelum ini berhijrah dalam keadaan sehelai sepinggang dapat dibantu memulakan kehidupan baharu dengan bantuan saudara seagama seperti mempersaudarakan Hamzah bin Abdul Mutalib dengan Zaid bin Harith, Umar bin al-Khattab dengan Itban bin Malik, Abdul Rahman bin Auf dengan Sa’ad al-Rabi’ dan lain-lain.

ii)             Menyatukan kaum Aus dan Khazraj (Ansar)
Penyatuan antara golongan Ansar ( penduduk Madinah ) iaitu  antara golongan Aus dengan Khazraj. Baginda telah menerapkan iman dalam setiap sanubari kedua-dua kaum ini agar semangat asabiyah yang diamalkan sebelum ini terhapus.  Nabi Muhammad SAW juga menyeru kepada kedua-dua kaum tersebut supaya melupakan persoalan hutang darah dan dendam kesumat akibat Perang But’ah yang telah   meragutribuan nyawa. Sebaliknya mereka mesti hidup dalam keadaan aman dan saling bekerjasama.

iii)             Penggubalan Piagam Madinah
Nabi Muhammad SAW telah mengambil beberapa langkah  yang boleh menjamin keamanan di Madinah. khususnya menghindarkan  daripada tindakan jahat orang Yahudi yang boleh mengancam keselamatan umat Islam.  Nabi Muhammad SAW telah menggubal Perlembagaan Madinah pada tahun 1 Hijrah. Perlembagaan Madinah mengandungi 47 fasal yang menyentuh segala aspek kehidupan sesebuah negara. Antaranya menggariskan peranan Rasulullah sebagai ketua negara, tanggungjawab orang Islam dan bukan Islam terhadap negara Madinah, keselamatan, perundangan dan sebagainya. Contohnya Nabi Muhammad SAW telah memperuntukkan di dalam Piagam Madinah hak-hak golongan Yahudi seperti memberi kebebasan mengamalkan upacara dan ibadat agama mereka, kebebasan di dalam kegiatan ekonomi, social, adat istiadat dan mereka diminta bersedia mempertahankan keselamatan Madinah dari ancaman musuh.  Di dalam Piagam Madinah setiap penduduknya mempunyai hak yang sama.

iv)             Membina masjid
Nabi Muhammad SAW telah membina masjid sebagai langkah menyatukan umat Islam.       Masjid bukan sahaja dijadikan sebagai tempat ibadat oleh umat Islam tetapi sebagai simbol penyatuan ummah. Masjid telah dijadikan tempat segala aktiviti umat Islam seperti perbincangan untuk menyelesaikan masalah negara, menerima tetamu asing dan sebagainya. Masjid yang terawal dibina ialah Masjid Nabawi dan Masjid Quba.

v)             Mengawal kegiatan golongan munafik
Seterusnya untuk mengelak berlaku perpecahan dalam kalangan umat Islam,  Nabi Muhammad SAW telah bertindak mengawal aktiviti golongan munafik yang merupakan kaum yang berpura-pura memeluk Islam dan berniat jahat untuk memecahbelahkan dan menghancurkan masyarakat Islam. Nabi Muhammad SAW menasihati para sahabat supaya berwaspada terhadap niat jahat kaum munafik. Langkah ini berjaya kerana tiada permusuhan secara terbuka dan kematian ketuanya Abdullah bin Ubay melenyapkan cita-cita kaum munafik.

vi)            Menjadikan al-Quran dan Hadis sebagai asas penyatuan dan perpaduan masyarakat  Madinah
Bagi merealisasikan pembentukan ummah di Madinah, Nabi Muhammad SAW         menjadikan al-Quran dan Hadis sebagai pegangan dan panduan dalam mentadbir negara. Keadilan dijadikan asas dalam segala bentuk tindakan. Maka ini dapat melahirkan masyarakat yang bersatupadu tanpa mengira bangsa dan agama. Keadaan ini memudahkan pembentukan masyarakat  Madinah.

vii)             Penyingkiran Kaum Yahudi dari Madinah
Seterusnya bagi memastikan tidak berlaku suasana yang huru hara di Madinah, kaum Yahudi Bani Qainuqa, Bani Nadhir dan Bani Quraizah telah disingkirkan dari Kota Madinah kerana melanggar Perjanjian Madinah. Penyingkiran mereka dibuat secara perundangan berteraskan keadilan. Langkah ini telah berjaya memperkukuhkan kedudukan Islam di Madinah dan akhirnya masyarakat Madinah terdiri daripada umat Islam sahaja.

viii)             Kepimpinan melalui teladan.
Nabi Muhammad SAW telah mempamerkan dan mengamalkan sifat kepimpinan yang unggul seperti siddiq, amanah, tabligh, fatanah dan hikmah dalam pemerintahan dan pentadbiran baginda sebagai ketua negara. Kepimpinan ini berjaya menyatukan dan membangunkan masyarakat Madinah yang mantap dan mencapai kejayaan dunia dan akhirat.

ix)              Memperkenalkan sistem sosial dan ekonomi yang adil
Bagi menyatukan ummah di Madinah,  Nabi Muhammad SAW juga telah memperkenalkan sistem sosial dan ekonomi yang memberikan keadilan kepada semua       pihak sama ada beragama Islam atau sebaliknya. Antaranya memperkenalkan amalan         syura agar semua pihak terlibat dalam apa juga perbincangan serta tidak menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan mereka. Nabi Muhammad SAW juga memperkenalkan sistem ekonomi yang lebih adil termasuk   mengharamkan segala bentuk penindasan dan mengagihkan kekayaan secara sama rata. Pengenalan sistem ekonomi ini juga telah menghapuskan monopoli golongan Yahudi      terhadap aktiviti dan sumber kekayaan kota Madinah.

x)              Penentangan kaum Yahudi di Madinah
Madinah adalah sebuah negara kota di Hijaz yang dikenali dengan nama Yathrib sebelum penghijrahan Rasullah s.a.w. Kota ini terletak di antara Yaman di Selatan dan Syam di Utara, di kawasan oasis yang subur. Jaraknya lebih kurang 200 batu di sebelah utara Kota Makkah. Penduduk Madinah terdiri daripada beberapa suku kaum Arab dan bukan Arab. Penduduk utama di kota ini adalah suku Auz dan Khazraj yang tinggal di bahagian selatan. Antara suku kaum bukan Arab iaitu Yahudi yang terdiri daripada bani Quraizah, banid Nadhir, bani Qainuqa dan lain – lain lagi yang menduduki di sebelah utara Kota ini.

d)         Langkah-langkah Nabi Muhammad SAW dalam menangani penentangan Yahudi di Madinah

Nabi Muhammad s.a.w telah menjalankan beberapa langkah yang boleh menjamin keamanan di negara kota itu untuk menghindarkan daripada tindakan jahat orang Yahudi yang boleh mengancam keselamatan umat Islam di Madinah.
·          Nabi Muhammad telah memperuntukan di dalam Piagam Madinah hak – hak golongan Yahudi seperi memberi kebebasan mengamalkan upacara dan Ibadat agama mereka, kebebasan di dalam kegiatan ekonomi, sosial, adat istiadat mereka dan mereka pula diminta supaya bersedia untuk mempertahankan keselamatan Madinah dari ancaman musuh. Disebaliknya, mereka pula meminta jasa baik Nabi Muhammad s.a.w menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka. Di dalam Piagam Madinah setiap penduduknya mempunyai hak yang sama.
·          Golongan – golongan Yahudi ini hanya mematuhi Piagam Madinah pada peringkat permulaan sahaja. Selepas itu mereka mengingkarinya, seperi telah dirancang terlebih dahulu kurana tindakan mereka berdasarkan komposisi di dalam golongan Yahudi yang terdiri daripada Bani Qainuqa, bani Nadir dan bani Quraizah.
·          Bani Qainuqa telah menghina Piagam Madinah dengan mempersendakan kemenangan Rasullah SAW dan pengikutnya dalam Perang Badar yang berlaku pada tahun ke – 2 Hijrah. Mereka tidak mematuhi amaran Rasullah s.a.w supaya menjaga kedamaian dan keharmonian di Madinah. Seterusnya mereka bertindak mengganggu maruah wanita secara terang – terangan. Sehubungan itu Rasullah telah menghalau mereka keluar dari Kota Madinah ke suatu kawasan berhampiran dengan negeri Syam di utara Semennjung Tanah Arab.
·          Bani Nadir telah melakukan dua kesalahan besar. Pertama, mereka telah mengadakan komplot untuk membunh Rasullah s.a.w semasa baginda mengadakan rundingan dengan salah seorang ketua mereka. Baginda terselamat dengan turunnya wahyu dari Allah seperti mana yang tersebut dengan turuny ayat II, Surah Al – Maidah 15 ). Kedua mereka telah menyokong kaum Quraisy Makkah dalam Perang Uhud. Kesalahan – kesalahan ini merupakan pengikaran terhadap Perlembagaan Madinah. Dengan arahan Rasullah s.a.w kemudiannya, mereka dikepung oleh tentera Islam selama enam hari. Setelah mereka menyerah kalah, mereka bersetuju meninggalkan kota Madinah.
·          Bani Quraizah pula juga mengingkari Piagam madinah dengan menimbulkan masalah besar pada masa berlakunya Perang Khandak ( Ahzab ). Huyai bin Ahtab, pemimpin Bani Nadir yang dihalau keluar dari Madinah telah menghasut pemimpin Bani Quraizah iaitu Ka’ab bin Asad sehingga akhirnya bersetuju membatalkan perjanjiannya dengan Rasullah s.a.w dan seterusnya memihak kepada tentera Quraisy yang sedang mengepung Madinah. Bani Nadhir tidak mengendahkan amaran Rasullah s.a.w tentang bahayanya pengkhianatan mereka.
·          Setelah Perang Khandak ( Ahzab ) dimenangi oleh tentera Islam, umat Islam mengepung perkampungan Bani Quraizah selama 25 Hari. Akhirnya mereka menyerah kalah dan bersetuju melantik Sa’ad bin Muaz pemimpin suku Aus, membuat pengadilan ke atas mereka. Sa’ad bin Muaz telah membuat keputusan bahawa haarta mereka dirampas, kanak-kanak, orang-orang tua dan kaum wanita ditawan. Manakala orang lelaki pula dipancung. Hukuman ini setimpal dengan keingkaran mereka terhadap perjanjian sebelum ini bersama-sama orang-orang Islam. Masalah yang ditimbulkan oleh orang – orang Yahudi ini akhirnya telah dapat diselesaikan oleh Rasullah s.a.w ke atas mereka.

Kesimpulannya, setibanya Rasullah s.a.w di Madinah dari Makkah, beliau terpaksan menghadapi pelbagai masalah yang ditimbulkan oleh beberapa golongan penduduk di Madinah yang tidak senag terhadap kedatangannya. Dengan pimpinan dari Allah s.w.t dan dengan sifat seorang pentadbir yang cekap, pendamai yang dihormati, panglima berakhlak luhur dan pemimpin berwibawa baginda telah dapat menyelesaikan semua masalah berkenaan dengan adil.



e)     Perkembangan masyarakat Islam pada zaman Khulafa al Rasyidin  / kemunculan golongan baharu dalam masyarakat

Pengenalan
            Terdapat dua golongan masyarakat Islam semasa pemerintahan Khalifah al-Rasyidin, iaitu masyarakat di Semenanjung Tanah Arab dan di luar Semenanjung Tanah Arab. Komposisi masyarakat terdiri daripada masyarakat Arab dan bukan Arab, Orang Arab termasuk golongan Muhajirin, Ansar dan Ahl-al-Ayyam. Golongan bukan Arab terdiri daripada kaum Parsi dan Qibti. Perluasan wilayah Islam ke luar Semenanjung Tanah Arab seperti Iraq, Syria dan Mesir telah mempengaruhi corak masyarakat Islam. Mereka menganut pelbagai kepercayaan dan menampilkan adat resam serta budaya masing -masing. Terdapat pelbagai golongan masyarakat pada zaman Khalifah al-Rasyidin

i.     Orang  Arab.  Terdiri daripada orang  Arab Utara dan Arab Selatan. Rasullah telah berjaya menyatu padukan masyarakat Arab seperti kaum Muhajirin dengan Ansar. Pembukaan kota Makkah telah menyebabkan Arab  Quraisy menerima Islam dan memberi sumbangan yang besar kepada negara Islam. Di zaman Khalifah al –Rasyidin orang Arab Madinah dan Arab Quraisy merupakan golongan yang penting membantu pentadbiran
negara contohnya:
a.       Khalifah Abu Bakar : Khalid Al- Walid dan Amru al-As merupakan panglima perang yang berjaya mengatasi golongan Ar            Riddah.
b.      Khalifah Umar al – Khattab.  Melantik enam orang para sahabat seperti Ali bin Abu Talib, Uthman bin Affan dan Zubir bin al –Awwam sebagai ahli Majlis Syura.
c.       Uthman bin Affan :  Keluarga Bani Umaiyyah diberikan jawatan penting seperti Marwan al – Hakkam dan Muawiyyah bin  Abu Sufyan sebagai Gabenor.

ii.     Golongan Al-Riddah.  Ia wujud di zaman Khalifah Abu Bakar al – Siddiq. Mereka terdiri daripada tiga golongan,   iaitu :
a.       Golongan yang tidak mahu mengeluarkan zakat. Mereka berpendapat zakat merupakan cukai yang hanya dibayar kepada nabi Muhammad. Mereka  terdiri daripada penduduk Bahrin, Yammah dan Hirah. Di Yammah golongan ini diketuai oleh Abdul Malik bin Al – Mughirah.
b.      Golongan Nabi palsu dan para pengikutnya. Nabi – nabi palsu ini seperti Sajah dan Musailammah al – Kazab merupakan nabi palsu yang berpengaruh. Mereka mendakwa menerima wahyu. Tujuannya untuk mendapatkan pengaruh dan kepentingan peribadi. Musailammah mempunyai pengikutnya seramai 40, 000 orang yang berpusat di Yammamah.
c.       Golongan Murtad.
Mereka terdiri daripada kabilah – kabilah Arab yang menerima Islam dengan tujuan mendapatkan perlindungan politik daripada negara Islam. Setelah nabi wafat mereka kembali semula kepada amalan             jahiliah. Khalifah Abu Bakar mengambil tindakan dengan menghantar pendakwah supaya mereka kembali  kepada ajaran Islam. Pasukan tentera Islam telah berjaya mengalahkan golongan ini dan  mereka kembali semula kepada ajaran Islam.

iii.        Golongan Ahl- Al-Ayyam.  Golongan ini wujud pada zaman pemerintahan Umar al- Khatab. Khalifah Umar telah membuka tanah di wilayah Iraq, Syria dan Mesir. Orang-orang Arab yang menyertai pasukan tentera membuka dan menetap di wilayah tersebut dikenali sebagai golongan ahl-al-Ayyam yang lain terutamanya bekas golongan Murtad. Golongan ini terdiri daripada suku Arab yang kecil seperti suku Syaiban dan bekas golongan murtad. Mereka diberi kuasa mentadbir ladang dan tanah di wilayah Iraq dan memungut cukai sebagai mengenang jasa mereka dalam pentadbiran. Zaman Khalifah Umar al – Khattab terdapat lebih kurang 12000 orang. Pemimpin mereka ialah Al-Ashtar, Malik al-Harith dan Hujr al- Kindi.

iv.        Golongan Al-Qurra.  Berasal daripada golongan ahl-al-Ayyam yang diberikan amanah untuk menguruskan tanah di Iraq. Mereka mengelarkan diri mereka sebagai al-Qurra bagi menjaga status dan membezakan daripada golongan ahl-al-Ayyam yang lain terutama bekas golongan murtad. Di zaman Khalifah Uthman, sebahagian besar mereka memberontak kerana pengambilan kuasa pentadbiran tanah dan cukai di wilayah Iraq oleh Bani Umaiyyah. Golongan ini bertanggungjawab menyebabkan pembunuhan Khalifah Uthman. Mereka memberikan sokongan yang kuat kepada Khalifah Ali terutamanya Perang Jamal dan Perang Siffin.

v.         Golongan al-Khawarij.  Mereka terdiri daripada bekas penyokong Khalifah Ali yang terlibat dalam Perang Jamal dan Perang Siffin. Mereka tidak bersetuju dengan tindakan Khalifah Ali menerima perdamaian dengan tentera Muawiyyah dalam Perang Siffin dan rundingan Majlis Tahkim. Kegagalan Majlis Tahkim menyebabkan golongan ini menggelarkan diri mereka sebagai golongan Khawarij. Mereka berpendapat perpecahan sepatutnya dipertanggungjawabkan ke atas Khalifah Ali, Muawiyyah bin abu Sufyan dan Amru al-As. Mereka melancarkan gerakan untuk membunuh ketiga – tiga pemimpin tersebut.  Mereka membunuh Khalifah Ali dan melancarkan gerakan menentang kerajaan Bani Umaiyyah.

vi.        Golongan berkecuali. Terdiri daripada golongan yang tidak mahu terlibat dalam konflik antara Ali dan Muawiyyah. Mereka tinggal di Hijjaz.

vii.       Golongan bukan Arab (Mawali).  Golongan ini terdiri daripada orang bukan Arab, iaitu kaum Parsi yang telah memeluk agama Islam. Kebanyakan mereka tinggal di Iraq. Di zaman ini mereka tidak dikenakan bayaran cukai jizyah.

viii.      Orang-orang bukan Islam.  Terdiri daripada orang Arab dan bukan Arab seperti kaum Yahudi, Qibti, Parsi. Mereka tinggal di luar Semenanjung Tanah Arab. Mereka menganuti agama Kristian, Yahudi dan Majusi. Mereka mendapat perlindungan politik dan layanan yang adil daripada kerajaan Islam dengan membayar cukai jizyah.

Soalan-soalan STPM

1.        Bincangkan usaha-usaha yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW selepasa baginda berjaya menubuhkan negara Islam di Madinah.  (STPM 2013)
2.        Bincangkan kemunculan golongan baharu dalam masyarakat Islam pada zaman khulafa ar-Rasyidin  (STPM 2013 U)

No comments:

Post a Comment