SELAMAT DATANG KE BLOG JELIRA SEJARAH STPM

Wednesday, 22 February 2017

1.1 Masyarakat jahiliah

1.1          MASYARAKAT JAHILIAH

a)            Konsep masyarakat jahiliah

Perkataan “jahiliah” diambil daripada kata dasar ja ha la dan kata terbitan jahlun atau jahalatun yang membawa maksud bodoh dan sesat. (al-Quran, surah Jum’ah (62): 2). Ciri-ciri masyarakat jahiliah seperti berdasarkan dalam al-Quran ialah tidak mempunyai nabi dan kitab sebagai petunjuk, tidak mempunyai peradaban atau tamadun, tidak berakhlak, angkuh dan bongkak serta tidak boleh membaca dan menulis. Kamus Bahasa Arab menyebutkan zaman jahiliah sebagai zaman sebelum Islam iaitu sebelum turunnya al-Quran. Zaman ini merujuk kepada zaman selepas keruntuhan kerajaan Saba’ iaitu kira-kira 300 tahun sebelum kerasulan Nabi Muhammad SAW pada tahun 610 M.  Zaman jahiliah dikatakan berakhir apabila turunnya wahyu kepada Nabi Muhammad SAW. Dalam tempoh kira-kira tiga abad itu masyarakat Arab telah mengalami keruntuhan, bukan sahaja dari segi agama(akidah) dan akhlak tetapi juga dari segi politik, ekonomi, pendidikan dan ilmu pengetahuan. Kehidupan masyarakat Arab jahiliah sebelum kedatangan Islam adalah dianggap tidak bertamadun kerana jahil dari segi akidah, akhlak yang buruk, mengamalkan asabiyah dan sistem perundangan yang tidak berpaksikan syariah. Namun demikian terdapat ciri-ciri positif masyarakat tersebut  seperti maju dalam perdagangan/pertukangan,  mahir dalam kesusasteraan, sistem pemerintahan yang berasaskan kabilah dan sifat mulia seperti menghormati tetamu.

b)          Ciri-ciri masyarakat arab jahiliah / tidak bertamadun (?)

i.     Akidah yang terpesong
Zaman jahiliah dianggap zaman yang mengalami keruntuhan dari segi akidah dan dalam beragama sehingga dikatakan hilang pedoman dan jahil dalam agama. Ini kerana pada zaman jahiliah nilai kepercayaan dan moral mereka amat rendah kerana tiada nabi yang diutuskan untuk memberi petunjuk dan tidak ada satu kepercayaan agama pun yang dapat membawa kepada kesejahteraan manusia di dunia dan akhirat. Terdapat agama menyembah berhala, Majusi, Nasrani, Hanif, dan Yahudi yang telah memesongkan akidah daripada mengesakan Allah. Selain itu mereka turut mengamalkan kepercayaan anismisme seperti memuja fenomena alam seperti bulan, matahari, bintang, pokok, roh dan objek-objek yang lain. Dengan kata lain agama dan kepercayaan masyarakat jahiliah dipenuhi unsur-unsur mitos dan tahyul yang menyesatkan. 

ii.    Akhlak yang buruk
Mereka banyak mengamalkan nilai-nilai buruk dalam kehidupan seharian. Nilai-nilai buruk yang agak ketara ialah suka berperang, pendendam, minum arak, berjudi, berzina, merompak, mengamalkan semangat assabiyah dan membunuh anak perempuan. Keruntuhan akhlak, tingkah laku yang kasar, tidak mengikut peraturan dan sentiasa menurut hawa nafsu menyebabkan tindakan mereka adalah sentiasa dilepas tanpa kawalan. Golongan bangsawan menikmati kehidupan mewah dengan melibatkan kegiatan perjudian, pelacuran dan pembunuhan. Tuntasnya moral dan akhlak mereka sangat buruk sehingga tidak ada batas kesopanan dan kesusilaan terhadap nilai-nilai kemanusiaan

iii.   Sistem pemerintahan yang berasaskan kabilah
Masyarakat jahiliah mengamalkan politik yang berasaskan kabilah yang membawa kepada perebutan kuasa yang hebat. Suasana pentadbiran menjadi gawat dan tidak tenteram. Berlaku diskriminasi puak, memuja kuasa, bersifat agresif, pendendam dan ingin menguasai puak-puak lain. Perebutan kuasa sering berlaku bagi mendapatkan kuasa mentadbir. Di samping itu ketua-ketua suku terpaksa membentuk majlis ketua-ketua suku iaitu Mala’ tetapi golongan berpengaruh berjaya mempengaruhi keputusan  dan menjaga kepentingan kaum yang lebih kuat dan menindas kaum yang lemah.

iv.   Ilmu pengetahuan yang rendah
Sangat sedikit orang-orang yang tahu membaca dan menulis dan tiada tradisi penyebaran ilmu dan pendidikan dalam kalangan masyarakat Arab jahiliah. Majoriti masyarakatnya hidup dalam buta huruf dan tidak diwarisi kepada generasi baru. Buktinya mengikut al-Baladhuri, hanya 17 orang sahaja yang tahu membaca dan menulis. Kemahiran bersyair dan bersajak hanya digunakan untuk meluahkan perasaan melalui kata-kata yang terhasil melalui pemikiran yang sepontan. Daya hafalan  dan keupayaan berkhutbah adalah kurang kualiti ilmiahnya.. Faktor sikap saling membenci dan sering bertelagah dan juga berperang menyebabkan ruang untuk menimba ilmu pengetahuan menjadi tertutup.

v.   Penipuan dalam ekonomi
Menjadi kebiasaan masyarakat jahiliah melakukan penipuan dalam sukatan dan timbangan. Mereka juga mengamalkan riba serta mengenakan kadar bayaran balik yang tinggi kepada peminjam.

vi.  Keangkuhan dan kesombongan
Justeru mengamalkan hidup secara berkabilah, semangat assabiyyah menyuburkan ciri-ciri jahiliah. Tingkah laku mereka kasar dan sombong terhadap puak lain. Peperangan mudah berlaku walaupun disebabkan oleh perkara-perkara kecil. Peperangan dilakukan untuk menguji kekuatan dan mengejar kemashyuran.

vii.  Kedudukan wanita
Di dalam masyarakat Arab jahiliah, mereka malu sekiranya mendapat anak perempuan. Golongan wanita dipandang hina dan berada pada hierarki yang amat rendah dalam masyarakat. Keadaan ini menyebabkan timbulnya amalan membunuh anak-anak perempuan sebaik sahaja dilahirkan. Sesetengahnya ditanam hidup-hidup dan yang dewasa dijadikan alat untuk memuaskan nafsu lelaki.

Ciri-ciri positif masyarakat Arab jahiliah

viii.   Maju dalam kegiatan perdagangan
Masyarakat jahiliah khususnya Hadari menjalankan perdagangan antara Yaman ke Syam. Dalam perjalanan mereka berkumpul di Makkah yang terdapat 3 buah pasar, Ukaz, Zulmajaz dan Zulmajinman. Mereka juga mengadakan hubungan dagang dengan orang-orang Cina, India dan Nusantara. Mereka mengambil barangan dari pelabuhan Yaman dan dibawa ke Syam untuk dijual kepada pedagang Eropah.

iv.  Mahir dalam kesusasteraan
Dalam kesusasteraan, masyarakat Arab jahiliah pandai bersyair, bersajak dan berkhutbah. Antaranya Imru al-Qais, Zuhair dan Tarafah yang telah menghasilkan karya-karya bermutu yang disebut “al-Mu’allaqat-al-Sab” yang pernah digantung di Ka’abah. Karya-karya adalah berbentuk sajak cinta, ratapan, pujaan, sindir cerca yang tujuan berseronok. Semua karya ini dikatakan mengandungi kata-kata yang tidak bersopan

x.  Menghormati tetamu walaupun musuh
Walaupun orang-orang Arab jahiliah digambarkan dengan penuh kejahilan dan kesesatan, namun mereka tetap memiliki sifat-sifat positif dan mulia. Mereka amat menghormati tetamu yang datang berkunjung ke tempatnya. Mereka akan melayan tetamu dengan memberikan jamuan yang hebat. Adakalanya mereka sanggup berhutang semata-mata ingin menghormati tetamu yang datang walaupun tetamu itu adalah musuhnya. Di samping itu orang-orang  Arab amat berpegang teguh kepada janji yang telah dilafazkan. Mereka akan menunaikan janji walaupun melibatkan soal keselamatan dan nyawa. Orang-orang Arab Jahiliah juga memiliki sifat-sifat positif yang lain, antaranya menghormati dan mentaati pemimpin.
  
C)          Sistem agama dan kepercayaan masyarakat jahiliah.

i)   Agama menyembah berhala
Agama menyembah berhala merupakan agama yang mempunyai pengikut terbesar di Semenanjung Tanah Arab. Berhala tersebut diperbuat daripada batu, kayu dan kadang-kala dari buah tamar (kurma). Tiap-tiap kabilah mempunyai patung berhala masing-masing. Antara berhala yang terkenal termasuklah al-Latta, al-Uzza, al-Manat dan al-Hubal. Sebahagian penduduk Tanah Arab tidak menganggap berhala Tuhan tetapi hanya sebagai perantaraan. Kepercayaan mereka bercampur-aduk antara percaya kepada Allah dan percaya kepada berhala. Mereka ini dikenali sebagai golongan Musyirikin, iaitu orang yang menyekutukan Allah.

ii)   Agama Majusi
Agama ini tidak diamalkan secara meluas oleh orang-orang Arab Jahiliah. Ia dibawa masuk selepas Parsi berjaya mengalahkan Habsyah di Yaman pada akhir abad ke-6 Masihi. Penganut agama ini menjadikan api sebagai objek ketuhanan mereka. Di antara penganut agama ini yang terkenal ialah Zararah dan anaknya Hajib. Mereka berasal dari Bani Tamin yang sememangnya mempunyai hubungan dengan Parsi. Agama ini terbahagi kepada 3 mazhab iaitu Kayumarthiyah, Zarwaniyah dan Zaradushtiyah.

iii)   Agama Yahudi
Agama ini adalah berdasarkan kepada ajaran yang dibawa oleh Nabi Musa a.s. berpandukan kepada kitab Taurat . Agama ini tersebar luas terutamanya di kawasan-kawasan Oasis di Barat Laut Semenanjung Tanah Arab, iaitu Tai'ma Khaiba, Padak dan Yathrib. Orang-orang Yahudi berasal dari Palestin. Mereka berhijrah ke Semenanjung Tanah Arab sejak abad pertama Masihi. Mereka telah menjadi kaya-raya dan berjaya menarik perhatian orang-orang Arab untuk menganut agama Yahudi. Orang-orang Yahudi menganggap diri mereka sebagai bangsa pilihan dan mereka menganggap al-Uzar sebagai anak tuhan. Di antara tokoh terkenal yang menganut agama ini ialah Yusof Zu Nuwas.

iv)   Agama Nasrani
Agama Nasrani adalah agama yang berdasarkan kepada ajaran yang dibawa oleh Nabi Isa a.s. berpandukan kitab Injil pada tahun 1 Masihi. Ia dibawa ke Semenanjung Tanah Arab oleh golongan pendakwah, pedagang-pedagang atau paksaan oleh tentera Rom atau Habsyah atas tanah jajahan mereka. Agama ini dapat sambutan dari penduduk Mekah dan Yathrib. Di antara tokoh terkenal yang menganut agama ini termasuklah Warraqah bin Naufal dan Uthman bin Huwairith. Agama ini mempunyai 2 mazhab iaitu Mazhab Nestorian yang berkembang di kawasan Hirah dan Mazhab Jacobite yang dianuti oleh penduduk Ghassan dan kabilah-kabilah lain di sempadan Syria / Syam. Pusat agama Kristian yang utama di Semenanjung Tanah Arab ialah Najran. Bandar Najran terus menjadi bandar Nasrani hingga ke zaman Khalifah Umar. Malah terdapat pusat latihan paderi Nasrani di Wadi al-Qura, iaitu kawasan pedalaman Timur Hijaz.

v)   Agama Hanif
Agama ini adalah berdasarkan kepada ajaran Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Penganut agama ini mempercayai konsep keesaan Allah ataupun monoteisme. Di antara mereka yang menganut agama ini termasuklah Zaid b'Amr, Umaiyah Bin Abi Salt, juga kedua-dua ibu bapa nabi sendiri. Walau bagaimanapun, agama ini telah diselewengkan oleh golongan-golongan tertentu seperti juga agama Yahudi dan Nasrani, misalnya mereka menyembelih binatang korban dan darahnya dipercikkan di sekeliling kaabah.

vi)   Kepercayaan animisme
Kepercayaan ini wujud bersama dengan kewujudan manusia. Ia berpunca dari sifat kagum manusia terhadap sesuatu objek yang ditemuinya. Mereka percaya wujudnya satu kuasa yang boleh menolong atau memberi mudarat kepada mereka. Oleh itu, mereka menyembah apa sahaja yang dianggap ganjil termasuklah bulan, matahari, pokok, batu, gua dan sebagainya.

vii)   Kepercayaan adat
Kepercayaan adat dianggap sebagai unsur-unsur karut dan tahyul. Antara kepercayaan yang diamalkan ialah menilik nasib. Apabila memulakan sesuatu kerja baru, mereka akan melihat keadaan sekeliling bagi menjangka nasib. Biasanya, mereka akan melihat arah burung terbang. Jika burung terbang ke kiri bermaksud tidak selamat dan sebaliknya.

d) Struktur masyarakat jahiliah

i. Struktur masyarakat jahiliah di Semenanjung Tanah Arab terbahagi kepada dua iaitu masyarakat Badwi dan Hadari. Mereka mendiami kawasan pedalaman atau perkhemahan. Tempat mereka tinggal tidak tetap dan sentiasa berpindah randah kerana mereka sentisa mencari air dan kawasan yang subur.  Masyarakat Hadari pula merujuk kepada golongan Arab Selatan atau masyarakat bandar. Kehidupan mereka lebih maju daripada Arab Utara dan lebih matang serta cerdik akalnya. Mereka menjalankan aktiviti ekonomi seperti pertanian, pertukangan dan perdagangan.

ii. Struktur masyarakat Badwi adalah diketuai oleh Syeikh Kabilah, pengikut – penternak, petani, pemburu, wanita dan hamba. Masyarakat Badwi mengamalkan pelbagai agama dan kuat dipengaruhi oleh kepercayaan karut dan tahyul. Masyarakat Badwi tinggal di bahagian tengah Semenajung Tanah Arab dan mempunyai semangat asabiyah yang kuat. Tidak bercampur dan berhubung dengan masyarakat asing. Setiap individu dalam kabilah mestilah sanggup menolong, menuntut bela dan berkorban untuk anggota dalam kabilahnya waima dengan jalan berperang. Ini kerana mereka beranggapan bahawa setiap individu dalam kabilah mempunyai pertalian darah dan mempertahankan kabilah merupakan kewajipan bersama.

iii. Masyarakat Arab Hadari dapat dibahagikan kepada lima golongan iaitu golongan bangsawan yang terdiri daripada ahli perniagaan dan pemerintah tempatan, golongan agamawan iaitu ahli kitab dan pendeta, masyarakat biasa – peniaga, pedagang, penyair dan petukang, golongan wanita serta hamba yang berada di lapisan paling bawah sekali. Kehidupan mereka lebih maju dari segi material dan tinggal di bandar-bandar seperti Makkah, Madinah dan Taif. Mereka mendirikan petempatan kekal dan hidup mewah. Golongan ini mempunyai hubungan dengan masyarakat luar melalui aktiviti perdagangan, sistem politik dan sosial.

 iv. Masyarakat jahiliah mengamalkan sistem berkabilah, iaitu satu unit sosial yang mengawal sistem pentadbiran masyarakat. Sistem ini adalah berlandaskan kepada pertalian darah dan keturunan yang diistilahkan sebagai semangat asabiyah. Semangat ini kemudiannya melahirkan perasaan taksub kepada kabilah dan bermegah dengan kabilah masing-masing serta memandang hina terhadap kabilah yang lain. Unit yang paling asas dalam sistem kabilah ialah seseorang individu yang terikat dengan kabilah masing-masing. Seterusnya diikuti dengan unit keluarga (a’ilah) yang terdiri daripada ibubapa dan anak-anak yang tinggal dalam satu khemah. Daripada beberapa buah khemah pula akan membentuk satu kumpulan (hayy) dan daripada beberapa hayy akan membentuk satu kaum. Wakil daripada beberapa kaum kemudiannya membentuk kabilah yang akan melantik seorang syeikh untuk mengetuai kabilah mereka. Di antara tugas-tugas syeikh kabilah ialah mempengerusikan majlis kabilah, menyelesaikan masalah dalam kabilah, membuat perjanjian dengan kabilah-kabilah lain, melayan tetamu dan memberi perlindungan. Justeru itu, syeikh amat dihormati dan ditaati dalam kabilahnya. Seseorang individu atau anggota kabilah hendaklah patuh kepada syeikh dan bertanggungjawab terhadap kepentingan kabilahnya.

v. Kedudukan wanita adalah sangat rendah dan hina. Mereka merasa amat malu sekiranya mendapat anak perempuan,  anak tersebut akan dibunuh sebaik dilahirkan. Terdapat juga yang ditanam hidup-hidup kerana dianggap menjatuhkan maruah keluarga. Kaum wanita biasanya dijadikan alat memuaskan nafsu lelaki.

vi. Kedudukan yang terakhir ialah hamba yang merupakan komoditi yang boleh di jual beli. Hamba biasanya terdiri daripada terdiri daripada tawanan perang mahupun keturunan. Hamba tidak boleh memiliki harta dan setiap tindakannya tertakluk kepada pemiliknya.

e) Perubahan – perubahan dalam masyarakat arab jahiliah selepas kedatangan Islam

i. Agama dan kepercayaan
Zaman Jahiliah Agama dan kepercayaan mereka dipenuhi dengan tahyul. Agama penyembahan berhala paling dominan kerana sebahagian besar masyarakat Jahiliyah menganut agama ini. Terdapat agama langit iaitu Nasrani dan Yahudi tetapi telah diselewengkan oleh paderi mereka untuk kepentingan diri sendiri. Selain itu, terdapat agama Majusi iaitu pengaruh daripada Parsi. Antara kepercayaan yang diamalkan adalah tilik nasib, sangka baik dan sangka buruk, animisme dan sihir. Zaman Islam Kepercayaan kepada Allah Yang Maha Esa iaitu mentauhidkan Allah dan mengakui kerasulan Nabi Muhammad SAW sebagai nabi yang terakhir. Melakukan perkara-perkara yang yang disuruh dan meninggalkan perkara-perkara yang dilarang.Mengamalkan prinsip-prinsip rukun Iman dan rukun Islam

ii. Akhlak
Zaman Jahiliah Mengamalkan moral dan akhlak yang sangat buruk dan tiada batas kesopanan dan kemanusiaan. Suka melakukan perbuatan seperti zina, minum arak, bunuh anak perempuan. Namun begitu masyarakat Arab jahiliyah juga mempunyai amalan baik seperti menghormati tetamu, taat kepada ketua dan tidak mungkir janji. Zaman Islam Kedatangan Islam telah mengubah akhlak masyarakat Arab kepada perkara-perkara yang baik dan mengamalkan akhlak Islam seperti hormat menghormati, bekerjasama, bertolak ansur dan lain-lain dan melarang perbuatan seperti zina dan minum arak.

iii. Politik
Zaman Jahiliah Kebanyakan kerajaan yang wujud pada zaman Arab Jahiliyah adalah tidak bersatu dan tidak sistematik kecuali Makkah. Di Makkah struktur politiknya agak jelas, seperti terdapat Darul Nadwah yang merupakan jabatan pentadbiran yang dipimpin oleh syeikh. Hal ini kerana kebanyakan wilayah-wilayah Arab sering dijajah dan diganggu gugat oleh kuasa asing seperti Rom dan Parsi di wilayah di sebelah utara. Masyarakat arab Jahiliyah mengamalkan sistem berkabilah dan setiap kabilah diketuai oleh seorang syeikh kabilah. Semangat assabiyah dalam kalangan masyarakat Arab Jahiliyah sering mencetuskan peperangan antara suku walaupun berpunca daripada masalah kecil. Zaman Islam Mengamalkan sistem pemerintahan sistem pemerintahan yang teratur dengan berlandaskan al Quran dan Hadis. Dengan adanya Piagam madinah ia menjadi teras bagi pembinaan sebuah negara Islam madinah Dari segi politik kemasyarakatan, Islam menekankan konsep ummah tanpa merujuk kepada kaum dan kelas.

iv. Ekonomi
Zaman Jahiliah Mengamalkan eksploitasi perdagangan satu hala dengan mengenakan tekanan terhadap kaum Badwi. Aktiviti ekonomi banyak yang bertentangan dengan syariat Islamiah seperti menjual berhala, amalan riba, menipu dan menjadikan aktiviti merompak sebagai sumber ekonomi mereka. Selepas keruntuhan empangan Maarib ekonomi masyarakt jahiliyah sangat meruncing. Kegiatan pertanian merosot kerana mereka tiada pengetahuan untuk membangunkan semula empangan tersebut. Zaman Islam Memperkenal dasar ekonomi mengikut syariat Islam sebagai contoh menghapuskan riba, menggalakkan perdagangan tanpa penipuan dan penindasan. Nabi Muhammad s.a.w menggalakkan umat Islam menceburi bidang pertanian dan perniagaan. Hal ini menyebabkan ekonomi umat Islam meningkat maju sehingga dapat mengatasi kegiatan monopoli orang Yahudi dalam ekonomi.

v. Ilmu Pengetahuan
Zaman Jahiliah Majoriti masyarakat Arab Jahiliyah buta huruf, hanya 17 orang sahaja yang celik huruf. Mewarisi pengetahuan tentang ilmu bintang, ilmu tilik dan ilmu keturunan. Pemerolehan ilmu adalah terhad dan menyebabkan perkembangan ilmu pengetahuan hanya bersifat hafalan dari satu generasi ke satu generasi. Zaman Islam Terdapat pembahagian ilmu seperti Al-Quran dan ilmu tafsir. Terdapat ilmu pengetahuan berkaitan dengan Islam dengan wujudnya cabang-cabang ilmu seperti fiqah, tauhid, sirah dan hadis. Masjid dijadikan sebagai tempat mengembangkan ilmu pengetahuan, sebagai contoh masjid Nabawi di Madinah.

vi. Kesusasteraan
Zaman Jahiliah Masyarakat Arab Jahiliyah mempunyai kemahitran dalam bersyair dan berkhutbah. Terdapat hasil-hasil karya mereka berbentuk sastera kreatif tetapi kandungan isi adalah berbeza dengan zaman Islam seperti memuja kecantikan wanita, keseronokan minum arak dan sebagainya. Zaman Islam Kebanyakan hasil sastera Islam adalah bertunjangkan kitab al Quran dan hadis Nabi Muhammad dengan mentauhidkan Allah yang esa. Hasil-hasil karya bebas dari unsur pemujaan dan berbentuk kesucian dan kebesaran Allah s.w.t.

vii. Kelas masyarakat
Zaman Jahiliah Iaitu mengamalkan sistem perhambaan, semangat assabiyah, mementingkan kedudukan dalam masyarakat, wanita dan hamba dianggap paling hina. Zaman Islam Mengamalkan perpaduan ummah, menganjurkan persamaan taraf dan semua manusia dianggap sama taraf di sisi Allah kecuali mereka yang bertakwa.

viii. Maruah wanita
Zaman Jahiliah Kedudukan wanita sangat rendah dalam masyarakat, fungsi wanita hanyalah sebagai pemuas hawa nafsu lelaki dan kegemaran mereka hanyalah menghiasi diri agar dikehendaki oleh lelaki. Menganggap amalan membunuh bayi perempuan sebagai amalan yang mulia, contohnya, Bani Tamim Zaman Islam Memuliakan kedudukan wanita, maruah dan kebajikan wanita perlu dipelihara dan dijaga. Wanita juga boleh mewarisi harta mengikut hukum dan syariat yang digariskan Islam.

viii. Peperangan
Zaman Jahiliah Mengamalkan bentuk peperangan yang malampaui batas seperti dalam perang Al Basus. Mengamalkan sifat balas dendam dan suka berperang walaupun melibatkan perkara perkara yang kecil Zaman Islam Peperangan adalah merupakan satu bentuk jihad bertujuan mempertahankan agama, maruah diri, bangsa dan Negara Mementingkan konsep persaudaraan berbanding peperangan, sebagai contoh Islam telah berjaya menamatkan permusuhan dalam kalangan golongan Ansar iaitu suku Aus dan Khazraj melalui Perjanjian Aqabah. 

4 comments: